Saturday, January 22, 2011

SEJARAH PENUBUHAN SKTJ


SEJARAH RINGKAS
SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN JELUTONG


            Proses pembinaan sekolah ini bermula awal tahun 2002 diatas tapak berkeluasan 5 ekar. Berkedudukan kira-kira 3 km dari Bandar Kulim dan terletak di atas bukit menjanjikan panorama yang indah dan dapat mewujudkan suasana yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

            Sekolah ini merupakan sekolah yang paling canggih bentuk binaannya dan kos pembinaannya melebihi RM7 juta. Pembinaannya siap pada akhir tahun 2003. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong sempena dengan nama taman perumahan yang terletak berhampirannya iaitu Taman Jelutong.

            Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong mula beroperasi pada 1 Januari 2004. Pengasas sekolah ini ialah Tuan Haji Abdullah Md Isa yang juga merupakan Guru Besar pertama bagi sekolah ini. Beliau bersama-sama tiga orang guru penolong kanan iaitu Encik Ahmad Tamizi Abd Hamid , Puan Hindon Shaari dan Encik Mohd Roslan Embi telah mula menggerakkan sekolah ini pada awal bulan Disember 2003 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 4.1.2004.

            Bilangan murid ketika mula dibuka pada tahun 2004 adalah seramai 440 orang dan bilangan guru pula adalah seramai 22 orang. 80% daripada bilangan murid-murid adalah dari kem Pasukan Gerakan Am Batalion ke-2. Selebihnya adalah anak-anak dari taman perumahan disekitar sekolah ini.

Bilangan murid telah bertambah dari setahun ke setahun akibat pembinaan taman-taman perumahan yang baru disekitar sekolah. Pada tahun 2005 jumlah murid meningkat kepada 510 seterusnya pada tahun 2006 meningkat kepada 600 dan pada tahun 2007 meningkat kepada 650 orang.Kira-kira 80% murid masih lagi dari kalangan anak-anak Kem Pasukan Gerakan Am. Dari segi komposisi kaum hampir 95% adalah murid-murid berbangsa Melayu manakala 5% adalah murid-murid dari bangsa India. Bilangan guru turut meningkat daripada 22 orang pada tahun 2004 kepada 36 orang pada tahun 2007.

Pada tahun ini iaitu tahun 2010 SKTJ menerima ramai guru baru iaitu kira-kira 7 orang guru pelbagai pengkhususan menjadikan jumlah guru di SKTJ seramai 39 orang. Bilangan murid pada tahun ini pula seramai 579 orang yang majoritinya berbangsa Melayu dan sebilangannya berbangsa India. SKTJ di bawah naungan Guru Besar, Tuan Haji Ruslan bin Mehat telah memperlihatkan banyak perubahan. Persekitaran sekolah sentiasa kekal cantik dan indah dengan pemandangan yang menarik dengan hiasan landskap yang pelbagai. Warga SKTJ juga diterapkan dengan nilai disiplin yang tinggi iaitu mengamalkan kebersihan sifar dan zon senyap. Persekitaran SKTJ sentiasa kelihatan bersih dengan suasana yang nyaman dan selesa. Selain itu, para guru SKTJ juga begitu komited untuk memastikan pencapaian murid sentiasa memberangsangkan tidak kira dalam bidang kurikulum mahupun ko-kurikulum. Terdapat sudut dan ruangan yang disediakan untuk murid-murid mengisi masa terluang terutamanya masa rehat dengan menerapkan amalan membaca seperti Teratak Ilmu dan English Garden.

Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong dikenali sebagai sebuah sekolah yang lengkap dengan infrastruktur yang kondusif. SKTJ mempunyai sebuah pejabat , bilik Guru Besar , bilik-bilik Penolong Kanan , ruang tetamu , bilik guru , pusat sumber dan makmal komputer yang semuanya berhawa dingin. Selain daripada itu terdapat hampir 30 buah bilik darjah ,bangunan pra sekolah, 2 buah makmal Sains , bilik permulihan , billik kaunseling , bilik rawatan, bilik Pendidikan Seni , bilik SPBT, bilik Urusetia Peperiksaan, bengkel Kemahiran Hidup ,bilik Muzik dan bilik Tayangan. Terdapat juga bilik-bilik khas seperti bilik SAL, PAK, MAK, dan JQAF. Surau dan bilik persalinan untuk Pendidikan Jasmani juga turut disediakan di SKTJ.

No comments:

Post a Comment